Tuesday, June 24, 2008


Cabaran buat Roslan Aziz


ROSLAN AZIZ (kanan) memerhatikan pemuziknya sewaktu sesi latihan di Istana Budaya baru-baru ini.


KREDIBILITI penerbit dan penggubah lagu tersohor ini sudah pastinya tidak perlu dipertikaikan lagi.Beliau merupakan antara insan seni yang bertanggungjawab membawa nama Malaysia ke serata dunia menerusi hasil karya yang tiada tandingannya.

Kemunculannya di dalam bidang seni hampir 30 tahun dahulu pada awalnya dipandang sinis dan mereka yang berada di sekelilingnya juga kurang berkeyakinan terhadapnya.

Namun, segala pandangan itu berubah apabila beliau memberikan dimensi baru terhadap lagu-lagu tempatan dengan sisi muzik baru yang dibawakannya.

Lihatlah sahaja, bagaimana beliau menjadikan penghibur tersohor negara, Sheila Majid sebagai satu nama besar bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara serantau dan juga di negara matahari terbit, Jepun.

Semuanya hadir menerusi album Legenda, sebuah naskhah yang memahat nama Roslan Aziz sebagai seorang pengkarya yang disegani.

Apa yang turut membanggakan, Roslan berjaya membuka mata dan telinga masyarakat tempatan khususnya generasi baru ketika itu terhadap lagu-lagu ciptaan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Namun, cabaran untuk menghasilkan Legenda bukanlah mudah tetapi ia telah memberikan impak yang cukup besar kepada dunia muzik tempatan.

Lalu, apabila nama Roslan diumumkan sebagai pengarah muzik untuk pementasan musim kedua, P. Ramlee The Musical (PRM) yang mula membuka tirainya Rabu lalu (28 Jun) di Istana Budaya (IB), ramai yang mengharapkan agar Roslan akan kembali memberikan sentuhan emasnya terhadap lagu-lagu yang akan ditampilkan dalam teater muzikal mega itu.

Sementelah juga, anak jati Kuala Lumpur ini sememangnya merupakan pemuja lagu-lagu P. Ramlee yang disifatkannya sebagai satu karya yang cukup unik dan belum mampu dikekang oleh sesiapa pun.

Pada satu pertemuan dengan bekas juri rancangan realiti, Malaysian Idol itu, Roslan menegaskan, cabaran untuk menghasilkan muzik untuk pementasan PRM bukanlah semudah seperti yang disangka.

Malah, menghasilkan muzik sewaktu pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical pada tahun 2006 juga tidak serumit PRM. "Cabaran utama saya adalah untuk mencari pemuzik yang bagus serta berpengalaman dalam tempoh satu bulan setengah sebaik sahaja Datin Seri Tiara Jacquelina mahukan saya mengendalikan muzik untuk PRM.

"Kalau mereka yang tahu bagaimana saya bekerja, kualiti adalah tunjang utama dalam setiap kerja yang saya lakukan. Disebabkan itu, untuk mencari pemuzik dalam menghidupkan lagu-lagu yang ditampilkan dalam PRM bukannya mudah.

"Ada kalanya, pemuzik yang saya mahukan itu sibuk dan saya perlu mencari pemuzik lain. Untuk itu, untuk PRM ini saya berjaya dapatkan mereka yang sememangnya berbakat besar dan muda serta yang mahu belajar selain mencari pengalaman baru bagi memantapkan lagi profil seni mereka," jelasnya panjang lebar.

Menariknya kali ini juga, Roslan berjaya mendapatkan salah seorang pemain gitar terbaik dunia yang juga sahabat baiknya, Randy Bernsen sebagai salah seorang pemuzik dalam pementasan PRM.

pementasan"Saya mengambil Randy kerana mahu pemuzik tempatan belajar sesuatu daripadanya. Setidak-tidaknya, kita dapat bertukar pendapat dalam meningkatkan kualiti hasil kerja kita.

"Saya sememangnya bersyukur kerana Randy bersedia mahu bersama-sama terlibat dalam pementasan ini. Bukan kerana dia kawan baik saya tetapi bakatnya yang saya percaya mampu menyumbang sesuatu dalam produksi ini," katanya penuh teruja.

Roslan menjelaskan, untuk PRM musim terbaru ini, dia menampilkan 40 buah lagu bagi skor muziknya manakala penonton akan dapat menikmati 10 buah lagu P. Ramlee dan 13 buah lagi merupakan ciptaan baru oleh komposer dari Singapura, Dick Lee.

"Hampir 70 peratus perubahan yang kami lakukan kerana perlu disesuaikan dengan jalan ceritanya. Jadi, daripada situ, saya melihat bagaimana untuk menghasilkan muzik bagi setiap adegan dan setakat ini, saya gembira dengan hasil yang telah dilakukan. Berbaloi jugalah walaupun tidak tidur semalaman," katanya berseloroh.

Malah ujarnya, dia berpuas hati dengan hasil kerja rakan baiknya, Erwin Gutawa pada musim pertama dahulu yang mempamerkan muzik orkestra dengan seramai 33 orang pemuzik.

Untuk itu, kali ini, dengan bilangan pemuzik yang kecil iaitu seramai 11 orang sahaja juga menjadi cabaran untuknya juga dalam menjadikan muziknya sehebat seperti musim pertama.

Tambahnya lagi, apa membuatkannya bangga dan terharu adalah apabila masih lagi ada pihak yang mempercayai dengan bakat dan sentuhan magisnya itu lebih-lebih lagi pihak Enfiniti Productions Sdn. Bhd. (EPSB) yang membuka jalan baginya dalam mempamerkan hasil sentuhan muziknya dalam pementasan teater muzikal terbitan syarikat itu.

"Saya gembira apabila ada pihak seperti EPSB yang begitu berani dalam memberikan santapan baru buat industri hiburan tempatan. Rasanya, kalau tiada orang seperti mereka, industri hiburan kita akan masih berada di takuk lama.

"Kekaguman saya terletak kepada semangat dan kekuatan orang besinya, Tiara Jacquelina yang begitu bersungguh-sungguh mahu mengangkat teater muzikal ke peringkat lebih tinggi. Beliau tidak mempedulikan kata-kata orang kerana dia percaya pada dirinya sendiri. Dengan itu, hasilnya sudah pun kita nampak dan masyarakat mula membuka mata," tuturnya penuh kejujuran.

Bukan itu sahaja, Roslan turut melahirkan rasa kagumnya terhadap pelakon PRM yang disifatkannya sebagai berdedikasi dan semangat mereka yang melangkaui segala-galanya.

No comments:

Quantcast Quantcast

Haring by 'aLi

MUSICOLOGY