Saturday, February 28, 2009

CD - R.A.P. - DUA DEKAD

Roslan sinonim jenama RAP

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

KETRAMPILAN, pandangan jauh serta pengalaman luasnya dalam dunia muzik ditumpahkan sepenuhnya menerusi penubuhan label muzik Roslan Aziz Productions (RAP). Menerusi label yang dianggap chic dan paling sofistikated ketika awal kemunculannya pada 1989, RAP berani mengenengahkan irama yang kurang mesra dengan halwa telinga ketika itu seperti world music, muzik etnik, fusion rock, soul, poetry ballad dan jazz.

Tiada siapa yang dapat menafikan kehadiran RAP yang ditunjangi jurutera muzik dan penerbit kreatif seperti Roslan Aziz. Kejayaan RAP ternyata bukan kecil-kecil anak. RAP pernah menerbitkan album Legenda (Sheila Majid) yang terjual mencecah 150,000 unit di samping mengambil beberapa artis ternama yang memiliki bakat unik seperti Zainal Abidin, Zubir Ali, Amir Yussof, Azman Warren dan Sheila sendiri untuk bernaung di bawah RAP.

Demi mengenang kembali saat gemilang RAP yang kini menjangkau 20 tahun, Warner Music Malaysia menerbitkan RAP 20 tahun, himpunan kompilasi terbaik selama dua dekad RAP beroperasi.

Didatangkan dalam dua CD, album istimewa ini boleh dianggap sebagai momento permulaan kerjaya solo beberapa artis dan pemuzik ternama tanah air seperti Zainal Abidin, Sheila Majid, Afdlin Shauki, Amir Yussof dan ramai lagi.

Antara lagu yang dimuatkan One Rhythm, Ikhlas Tapi Jauh, Hijau, Ratu, Sleep Before I Die, Manis, Island, Pagi, Harga Diri, Mengapa Kasih, Suratmu, Embun, Mercy dan Debu Liar/Bahagia.

CD 2 pula memuatkan Bersatu Hati, Senang-senang, Sampai Bila, Satu, Aku Cinta Padamu, Pelangi, Siapakah Memberi Khabar, Percayalah, Live and Die, I Got U, Rintihan Harimau, Primadona, Wanita dan Don’t Say Goodbye.

Perjalanan seni Roslan tiada noktahnya, selain pernah menjadi juri tetap program realiti Malaysian Idol 1 ( 2004 ) dan 2 ( 2005), Roslan juga bertanggungjawab mengarah dan menerbitkan konsert bersejarah Datuk Sri Siti Nurhaliza Royal Albert Hall London pada April 2005. Bukan itu saja, dia turut dilantik sebagai pengarah muzik teater muzikal yang mencipta fenomena Puteri Gunung Ledang pada Feb 2006 manakala musim keduanya Oktober tahun yang sama.

Dia juga bertanggungjawab menerbitkan album sulung Raja Atilia berjudul Sangkar yang dilancarkan pada Mei 2007. Roslan juga pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi Pengetua Akademi Fantasia Musim ke-5 yang berakhir pada Mei 2007.
Quantcast Quantcast

Haring by 'aLi

MUSICOLOGY